AKTIVITI PANITIA

Sabtu, Julai 18, 2009

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Sumber : Harian Metro, Jumaat 17 Julai 2009
Oleh : Idris Musa


ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu. Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.

Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.

Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.

Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.

Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.

Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.

Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.

Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Khamis, Julai 16, 2009

DOA ADALAH IBADAH 1

Al-Quran merupakan kalam Allah S.W.T yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W melalui utusanNya, Jibril A.S. Membaca Al-Quran adalah ibadah kepada sekalian umat Islam yang menyatakan keimanan kepada Allah dan RasulNya.
Kita sedia maklum bahawa Al-Quran mempunyai ayat-ayat yang boleh menjadi penawar dan penyembuh penyakit sama ada penyakit rohani dan jasmani. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Isra: 82: maksudnya
" Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadaNya"

Allah berfirman lagi dalam Surah Yunus: 57 maksudnya:
" Wahai umat manusia, Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu"

Jelaslah bahawa di dalam Al-Quran mempunyai penawar bagi setiap masalah. Dengan usaha berterusan dan doa serta tawakal kepada Allah, insyaAllah setiap doa akan dimakbulkan. Apa yang ingin dirungkaikan disini ialah tentang doa. Bagaimana doa kita yang tidak dimakbulkan? Adakah kita telah berdoa dengan bersungguh-sungguh? Sama-samalah kita muhasabah diri kita tentang di manakah tahap ketaqwaan kita kepada Allah dan sejauh manakah kita telah memohon pertolongan daripadaNya? Adakah kita lupa berdoa tika mana kita senang? atau adakah kita berdoa tika kita dalam kesusahan sahaja?

Doa ialah memohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah S.W.T. Tentang doa, Allah Ta'ala berfirman dalam Surah Al-Mu'min:60 maksudnya:
"Dan Tuhan kamu berfirman :"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina"

Dalam firmanNya lagi :
" Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu dengan mematuhi perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul: (Surah Al-Baqarah: 186)

Adab Berdoa:
  • Berkeadaan suci daripada hadas kecil dan besar serta suci pakaian dan tempat berdoa.
  • Mengadap Kiblat, dan berdoalah dengan khusyuk, tawaduk serta merendah diri kepada Allah S.W.T.
  • Doa dimulai dengan membaca Surah Al-Fatihah dan memuji Allah S.W.T. dan diikuti dengan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
  • Mengangkat atau menadahkan tangan dengan mengadap ke atas.
  • Berdoa dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T akan memperkenankan doa kita.
  • Sapukan kedua tangan ke muka selepas selesai berdoa.
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah S.W.T semasa dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah S.W.T memperkenankan doanya ketika berdoa dalam keadaan susah.
  • Berdoa dengan suara yang perlahan seraya merendah diri di samping mengakui kesilapan dan dosa yang yang telah lalu. Firmannya: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan" (Surah Al-A'raf:55)
  • Untuk memohon hajat, ulangilah perkaranya sekurang-kurangnya 3 kali.
  • Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan dosa.
  • Jangan sekali-kali merajuk apabila doa belum dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Sebaliknya hendaklah bersabar dan istiqomah dalam berdoa.
  • Doa hendaklah diakhiri dengan selawat atas Nabi S.A.W. serta puji-pujian kepada Allah S.W.T.