AKTIVITI PANITIA

Khamis, November 24, 2011

HIJRAH PEMIKIRAN UMMAH

Sumber : dakwah2u.blogspot.com

Awal Muharam atau Maal Hijrah bukanlah perkara asing bagi seluruh umat Islam. Peristiwa ini cukup signifikan dalam konteks memacu kemajuan ummah menghadapi cabaran-cabaran dalam pelbagai bidang.

Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, akan mengundang episod kegagalan kepada umat Islam sendiri.

Persoalannya berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah dan sejarah di sebalik peristiwa tersebut?

Secara umumnya perayaan 1 Muharam ini merujuk kepada peristiwa agung sejarah hijrah (perpindahan) yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para pengikutnya dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Tarikh ini menjadi sebahagian daripada hari memperingati di dalam kalendar Islam kerana ia merupakan titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang disebarkan oleh Rasulullah s.a.w. ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya sehingga ke hari ini Islam menjadi salah satu agama terbesar dunia dengan jumlah seramai lebih 1.3 bilion atau satu per lima daripada penduduk dunia.

Perjalanan yang menempuh pelbagai cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman dan asakan daripada kaum kafir Quraisy tetapi menjadi strategi Nabi Muhammad s.a.w. sendiri untuk melalukan transformasi dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam. Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan untuk keluar dari tanah air sendiri semata-mata untuk memperjuangkan atas nama Islam.

Hijrah juga akan gagal sekiranya umat Islam tidak bersatu padu, sentiasa bertelagah, mencari kesalahan dan hanya tahu mengkritik sahaja. Maknanya perpecahan hanya mengundang kegagalan dalam apa jua matlamat yang hendak dicapai lebih- lebih lagi melibatkan soal survival ummah.

Jelas betapa hebatnya hijrah tersebut yang bukan hanya berfokuskan semata-mata menyampaikan dakwah tetapi Baginda s.a.w. berjaya mendirikan daulah (negara) Islam Madinah yang lengkap melalui pakatan murni atau kontrak sosial yang dimeterai dalam Perlembagaan Madinah. Ahli sejarah menganggap ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi agama terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah menjadi majoriti yang perkasa dalam pelbagai bidang. Daripada umat yang lemah dan dihina beranjak kepada umat terbilang yang penuh penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim menjadi bangsa berilmu dan beradab. Itulah hasil perubahan yang tercetus hanya kerana hijrah.

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Al-Anfaal:30)

Keyakinan

Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi s.a.w. dan umat Islam agar tidak takut dengan ancaman orang kafir kerana Allah s.w.t. mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. yang cukup hebat.

Ketika umat Islam dilanda dengan pelbagai konflik dari sudut politik tanah air dan cengkaman kemiskinan yang sangat ganas, kita memerlukan satu anjakan untuk turut serta berhijrah dalam konteks pemikiran masa kini. Jangan hanya sekadar retorik dan berbangga dengan pencapaian keunggulan Islam pada zaman lampau. Malah kita harus bertanya apakah kita sekarang benar-benar dapat memastikan keunggulan Islam dinikmati untuk generasi akan datang dengan pencapaian kita selama ini?

Hijrah bukanlah bermakna kita menjadi pelarian atau orang buangan dalam konteks hari ini. Skeptikal dan salah tanggapan itu sangat menyimpang daripada kehebatan hijrah itu sendiri. Dalam dunia kejahilan kaum kafir yang bersandarkan ideologi manusia semata-mata, kita menolak dakwaan bahawa umat Islam sentiasa mencari arah perlindungan kuasa besar yang lain atau menjadi pelarian ke negara-negara lain semata-mata untuk menyelamatkan diri.

Kita tidak mengiktiraf pakatan jahat kafir Quraisy yang beria-ia hendak memburu dan menamatkan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. ini kerana ia sangat bertentang dengan kebebasan hak asasi manusia yang tidak boleh dibunuh tanpa melalui sistem perundangan yang sah. Ia juga melambangkan betapa era kejahilan sangat berkuasa pada zaman dahulu yang menghuru-harakan sistem sosial manusia kerana tidak mempunyai panduan daripada wahyu.

Nabi Muhammad s.a.w. tidak berdiam diri dan hanya menyerahkan kepada takdir semata-mata tanpa melakukan urusan dakwahnya dengan menggunakan metodologi yang sangat efektif.

Apa pula strategi kita untuk terus menghadapi cabaran hari ini yang jauh lebih kompleks. Sering kali terpapar di dalam media bagaimana tragisnya kehidupan ummah yang penuh dengan kesengsaraan, kemiskinan, kedangkalan ilmu, kelemahan pencapaian ekonomi dan lebih menakutkan ialah peperangan saudara yang melahirkan lebih ramai pelarian.

Di samping memastikan aspek keselamatan dan keamanan negara-negara yang didiami oleh umat Islam, kita harus meletakkan visi dan misi yang sarat dengan kebijaksanaan agar tidak kecundang di pertengahan jalan. Ia sangat menuntut kepada perpaduan dan menjauhi pertelingkahan, tuduhan melulu dan membuang perasaan iri hati sesama kita semua.

Gantikanlah dengan semangat muhibah, toleransi, keazaman murni dan perilaku yang terbaik melambangkan keunggulan jati diri umat Islam melalui pelbagai bidang seperti pendidikan, penerokaan sains, kepesatan ekonomi negara dan kestabilan politik. Pastinya angka ini semakin bertambah dari semasa ke semasa hasil daripada usaha- usaha ke arah memartabatkan umat Islam dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Semoga mulai saat ini berazamlah kita semua agar tiada lagi masalah yang melanda umat Islam. Tiada lagi label keganasan yang dikaitkan dengan umat Islam, tiada kemiskinan yang menghambat negara-negara Islam, tiada lagi kepincangan sosial yang negatif, tiada lagi kedengaran semboyan peperangan.

* RAHISAM RAMLI ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM).

Isnin, September 26, 2011

CARA BERBAKTI KEPADA IBU BAPA YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA



Dari Aisyah menceritakan bahwa seorang lelaki datang kepada Rasulullah bertanya : Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan dia tidak ada berwasiat apa pun dan saya rasa kalau dia sempat berbicara dia akan bersedekah, adakah dia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya ? Nabi menjawab : Ya (bersedekahlah dan dia akan mendapat pahala ). (Sahih Bukhari dan Muslim)

Dari Abi Usaid Malik bin Rabi’ah berkata bahwa ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata : “ Ya Rasulullah, adakah kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah meninggal dunia ? Rasul menjawab : Ada, engkau berdoalah untuk keduanya, dan meminta diampunkan dosa-dosanya, dan tunaikan wasiat dan janji-janjinya, dan hubungkan silatiurahim dengan saudara dan keluarganya, dan hormati serta muliakan kawan-kawannya.“ (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)

Ahad, Ogos 28, 2011

ADAB MENYAMBUT AIDILFITRI

1. Berdoa di malam raya

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan 'Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah : 185)

3. Mandi Sunat Aidilfitri

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."

(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seeolk-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Mengucapkan tahniah

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

7. Ziarah menziarahi

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.

(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Khamis, Ogos 11, 2011

Fadilat Berbuka Dengan Kurma

Oleh Ibrahim Abdullah
bhagama@bharian.com.my
2011/08/03

Buah berkat, makanan berzat untuk kesihatan manusia

ALLAH SWT telah menjadikan kurma atau tamar dengan banyak keistimewaan dan kelebihannya. Kurma adalah satu mukjizat dan sumber rezeki, manfaat serta memberi kesihatan bagi kehidupan manusia.
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebutkan kelebihan dan keutamaan kurma. Antara lain Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” – (Surah Maryam, ayat 25).

Allah memerintahkan Siti Maryam untuk menggegarkan batang pokok kurma ketika melahirkan anaknya, Nabi Isa as. Tanpa seorang pun yang membantunya, air mengalir di sisinya. Air itu kemudian diambil dan diminumnya sebagai ganti cairan tubuh yang hilang ketika melahirkan Nabi Isa.

Firaun juga memilih batang kurma untuk menyalib orang yang beriman kepada Tuhan Musa dan Harun sebagai azab bagi mereka kerana kekuatan dan kekukuhan yang ada pada pokok itu. Penyihir itu berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.” (Surah Taaha, ayat 70).

Mengenai kurma sebagai buah yang berkat, Rasulullah SAW mewasiatkan kepada umatnya untuk memakannya ketika berbuka puasa.
Daripada Salman Ibnu Amir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu akan berbuka puasa, maka berbukalah dengan kurma sebab kurma itu berkat, kalau tiada, dengan air kerana air itu bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Daripada Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa rothab (kurma mekar yang dipetik dari pohonnya) sebelum bersolat (Maghrib). Kalau tidak ada rothab, maka dengan beberapa kurma matang (kering), kalau tidak ada, maka dengan beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Tidak diragukan lagi bahawa di sebalik sunnah Nabi SAW ini, ada petunjuk perubatan dan manfaat yang banyak bagi kesihatan dan hukum yang elok dan bagus untuk manusia. Rasulullah SAW telah memilih makanan ini (kurma) atau tamar dan tidak memilih yang lainnya kerana adanya manfaat yang sangat besar dan mulia.

Dalam hadis juga disebutkan keutamaan tamar atau kurma itu. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Rumah yang tidak memiliki kurma adalah rumah yang penghuninya sentiasa berasa lapar.” (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tamar itu menghilangkan penyakit dan tidak ada penyakit di dalamnya kerana ia adalah tanaman dari syurga yang boleh dijadikan sebagai ubat.”

Sa'ad RA berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah (kurma Nabi), maka akan terhindar daripada racun dan sihir.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ibnu Qaiyyim dalam kitabnya Zaadul Ma'ad berkata: “Kurma ialah buah-buahan yang sangat sesuai untuk mengisi perut yang kosong dan mampu memberi tenaga bagi tubuh. Kurma juga buah yang bermutu tinggi dan bermanfaat bagi kesihatan hati manusia dan dapat menghaluskan tabiat manusia yang kasar.”

Satu kajian dilakukan untuk mengetahui kandungan kimia dan biologis dalam kurma. Kajian itu berkesimpulan bahawa, setiap bahagian kurma yang dimakan mengandungi kandungan zat gula 70-75 peratus, 2-3 peratus protein, 5-8 peratus serat dan sedikit kandungan lemak. Selain itu, dalam penelitian perubatan juga didapati bahawa kurma mengandungi 65-70 peratus air jernih, 24-58 peratus zat gula, 2-2.1 peratus protein, 5.2 peratus serat dan sangat sedikit kandungan lemak.

Antara hasil penelitian kimia dan psikologi mengenai manfaat berbuka puasa dengan kurma yang telah dilakukan oleh Dr Ali Abdul Ra'uf dan Dr Ahmad Ali as-Syahhat ialah:

  • Memakan kurma rothab (kurma mekar) atau kurma kering ketika berbuka puasa akan menambah kandungan zat gula, sehingga kekurangan zat gula pun dapat diatasi dan tubuh menjadi lebih bertenaga.

  • Oleh kerana alat penghadaman seperti perut dan usus kosong dalam keadaan lapar (berpuasa), maka kandungan zat gula yang ada di dalam kurma mudah dan cepat diserap.

  • Orang berpuasa akan kehilangan sebahagian zat gula melalui tenaga yang dikeluarkannya. Zat penting yang diperlukan oleh tubuh akan diganti melalui makanan ketika sahur dan berbuka puasa, yang mana dalam hal ini, puasa sangat berguna bagi penghidap diabetes. Inilah nikmat Allah Taala yang bertujuan untuk menjaga dan membersihkan anggota tubuh.
  • Isnin, Ogos 01, 2011

    AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN YA RAMADHAN

    KELEBIHAN RAMADHAN

    Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

    1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

    2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

    3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

    4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

    5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

    PENERANGAN HADIS

    1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

    2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

    3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

    4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

    5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

    6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

    7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

    8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

    9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

    10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

    11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

    Jumaat, Julai 08, 2011

    TERIMA KASIH

    Panitia Pendidikan Islam SK Sungai Serai ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Pn. Selamah binti Packeer Mohamed atas nasihat dan tunjuk ajar yang telah diberikan.
    Pn, Selamah telah mendapat tawaran untuk berkhidmat dan memulakan tugas di Institut Perguruan Islam Selangor, Bangi bermula minggu depan. Majlis perpisahan ringkas telah diadakan pada pagi tadi (8 Julai 2011). Beliau turut menyampaikan amanat dan pesanan kepada guru-guru dan murid-murid SK Sungai Serai. Beliau turut menyatakan bahawa banyak pembaharuan yang ingin dilakukan tetapi tidak kesampaian dan beliau berharap tradisi yang beliau cuba bawa akan berkekalan. InsyaAllah.
    Akhir kata, SELAMAT MAJU JAYA kami ucapkan kepada Pn. Selamah dan kami mohon ampun dan maaf andai ada keterlanjuran bahasa dan tingkah laku yang kurang molek pada pandangan mata puan.
    Sesungguhnya yang sempurna itu datangnya dari Allah SWT, dan yang buruk itu datangnya dari kami sendiri.
    Terima Kasih.
    Admin Blog ppi-sksgserai.blosgpot.com

    Jumaat, Mei 27, 2011

    MAKLUMAT TERKINI

    DATA ELAPORAN PROGRAM jQAF 6 BULAN PERTAMA 2011

    Pada 25 Mei 2011 yang lalu, bertempat di SK Saujana Impian, Bengkel Data Elaporan jQAF 6 Bulan Pertama 2011 telah pun berjaya dilaksanakan. Dengan kehadiran guru daripada 64 buah sekolah rendah, sesi bengkel dimulakan dengan taklimat dan ucapan daripada Ustaz Hasnul Hadi b Ayub, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat.
    Bengkel dikendalikan oleh Jurulatih Utama Data Elaporan Daerah Hulu Langat, Ustaz Mohd Khairil Akmal b Masduki dari SK Saujana Impian dan Ustaz Khairul Abu Zar b Hussin dari SK Sungai Serai. Perisian Data Elaporan Versi 2011 telah disampaikan kepada semua guru.
    Data Elaporan Program jQAF 6 bulan pertama bagi daerah Hulu Langat akan dikumpulkan pada 22 Jun 2011 di Blok C, PPD Hulu Langat. Manakala pengumpulan data elaporan peringkat Negeri Selangor akan dikumpulkan pada 28 Jun 2011.

    LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN

    Pada 30, 31 Mei dan 1 Jun 2011, Unit Latihan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai akan menganjurkan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dan Mesyuarat Guru di SK Sungai Serai bagi semua guru SK Sungai Serai.

    Ahad, Mei 22, 2011

    KEMBALI BERTAUT..2011

    Assalamualaikum Warahmatullah Wabarokatuh..

    Awal Bismillah pembuka bicara, salam dihulur maaf dipinta..Kembali bersua buat yang sudi menjengah ke blog Panitia Pendidikan Islam SK Sungai Serai, Hulu Langat. InsyaAllah, dengan izin dan hidayah daripada Allah SWT, mudah-mudahan, saya sebagai wakil Panitia dapat menyalurkan maklumat dan berita terkini yang berlaku di SK Sungai Serai untuk menyemarakkan semula informasi melalui blog ini.

    Tragedi Tanah Runtuh - Rumah Anak Yatim At-Taqwa, Bt 14, Hulu Langat
    Terlebih dahulu, sama-samalah kita membacakan Surah Al-Fatihah dan semoga pahala bacaan kita dapat kita sedekahkan kepada Arwah adik-adik dan penjaga yang telah terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batu 14 Hulu Langat pada 21 Mei 2011. Al-Fatihah..Semoga Allah menempatkan mereka yang terkorban bersama-sama dengan kekasih Allah. Amin.
    Apabila diberitahu tentang berita tersebut, perasaan sebak, terharu menyelubungi semua warga Hulu Langat khususnya. Namun, itu semua adalah takdir Yang Maha Esa. Kita sebagai hambaNya hanya mampu redha atas ketentuanNya dan berusaha mendoakan keselamatan mereka yang lain. Alhamdulillah, semua 7 jenazah yang dikebumikan di tanah perkuburan Dusun Nanding telah selamat diuruskan. Bagi warga SK Sungai Serai, SALAM TAKZIAH diucapkan kepada waris mangsa yang terlibat. Diharapkan dapat bersabar dengan ujian Allah ini.

    16 MEI 2011 - HARI GURU
    Selamat Hari Guru buat semua pendidik SK Sungai Serai. ingatlah! AMANAH YANG DIBERI, KAMI TAK PERSIAKAN, APA YANG KAMI JANJI, TUNAI TETAP KAMI TUNAIKAN...

    MUSIM PEPERIKSAAN AWAL TAHUN.
    23 Mei - 27 Mei 2011 - Peperiksaan Pertengahan Tahun bagi murid-murid SK Sungai Serai. Bagi kertas mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, tarikh yang telah ditetapkan ialah pada 27 Mei 2011. Manakala tarikh akhir menghantar markah adalah pada 30 Mei 2011. Selamat Menjawab Soalan. Semoga semua murid SK Sungai Serai beroleh kejayaan. InsyaAllah. Kepada Muallim dan Muallimah, selamat bertungkus-lumus menanda kertas jawapan. Jadikan ia sebagai cabaran positif.

    Bengkel Pengumpulan Data Elaporan jQAF 2011
    Pada 25 Mei 2011 ini pula, Bengkel Pengumpulan Data Program jQAF bagi 6 bulan pertama akan diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat dari pukul 8.30 pagi - 5.00 petang. Semoga semua urusan dipermudahkan Allah. Ustaz Khairul Abu Zar bin Hussin dan Ustazah Nur Habibah bt Mohd Nordin akan mewakili SK Sungai Serai bagi bengkel tersebut.