AKTIVITI PANITIA

Selasa, Oktober 06, 2009

Salam Syawal

Assalamualaikum wrt.wbt.

Salam Syawal buat semua sahabat yang mengikuti perkembangan blog ini. Selaku orang yang mewujudkan blog bagi panitia ini, salam kemaafan dihulurkan andai ada tersalah kata, terkasar bicara. Sepanjang Ramadhan yang lalu dan masuk ke bulan Syawal yang indah ini, kita di SK Sungai Serai dikejutkan dengan beberapa berita yang agak mengejutkan. Apa yang berlaku semuanya adalah ketentuan daripada Yang Maha Esa dan kita sebagai hambaNya yang lemah dan sentiasa bergantung padaNya perlulah bersyukur dan bermuhasabah tentang perkara yang menimpa.

Kejadian pertama- warga SK Sungai Serai terkejut seketika apabila GPK Kanan, Pn. Norhayati Jalil ditimpa kemalangan jalanraya bersama-sama suaminya. Alhamdulillah,walaupun agak teruk namun keadaan Pn. Norhayati dan suaminya selamat. Moga Pn. Norhayati bertambah sihat dan bersemangat hendaknya.

Kejadian kedua- suasana persekolahan yang baru bermula selepas cuti seminggu berhari raya dikejutkan dengan berita atau kejadian yang menimpa GB SK Sungai Serai, Pn. Rashidah bt Ismail. Anak lelaki beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya di Bangi ketika raya ketiga. Anak lelaki beliau koma dan dimasukkan ke dalam ICU, Hospital Kuala Lumpur. Baru-baru ini, saya ada melawat GB dan anaknya di ICU, HKL (3/10/09), naik motor sahaja kerana saya tahu keadaan diHKL yang susah untuk mencari tempat letak kereta. Saya dapat melihat sendiri keadaan anak beliau dan saya menumpang simpati melihat keadaan anak beliau. Itulah pengorbanan insan yang bergelar IBU. Anak beliau seperti yang dimaklumkan telah sedar sedikit. Kalau dilihat dari segi keadaan anak beliau, mungkin ia akan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh namun saya berharap anak beliau akan segera sihat.

Kejadian ketiga- Sekali lagi, kisah kemalangan. kali ini melibatkan salah seorang guru SK Sungai Serai. Kejadian kemalangan berlaku betul-betul dihadapan sekolah. Ia berlaku pada waktu malam semasa saya ke sekolah kerana terlibat dengan kelas tambahan malam. Pada mulanya tidak syak apa-apa ketika melihat ramai orang dihadapan sekolah. Kemudian, barulah tahu bahawa kemalangan tersebut melibatkan guru SKSS kerana keretanya dirempuh oleh motosikal yang ingin mengelak kayu. Alhamdulillah, cikgu tersebut selamat walaupun keretanya rosak teruk.

Walaupun banyak perkara yang berlaku, kita sebagai manusia perlu sentiasa berdoa dan berserah kepada Allah serta redha apa yang telah berlaku. Janganlah pula kita kaitkan apa yang berlaku dengan sesuatu yang boleh meletakkan diri kita kepada dosa. Apa yang berlaku telah ditentukan. Ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Kita sama-samalah berdoa supaya keselamatan kita, ahli keluarga kita, seluruh umat Islam dilindungi oleh Allah Yang Maha Kuasa.

Akhir kalam, ambillah peluang pada bulan Syawal ini untuk kita bermaafan antara satu sama lain dan membuang sifat dengki-mendengki antara kita semua.
SALAM LEBARAN...MAAF ZAHIR DAN BATIN