Rasulullah SAW bersabda : “Jadilah kamu orang yang berilmu atau orang yang mempelajari ilmu atau orang yang mendengar dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Janganlah kamu menjadi orang yang kelima nescaya kamu akan binasa”. (Riwayat At-Tabrani)

MATLAMAT PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

Menghasilkan Muslim yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia berdasarkan AL-QURAN dan AS-SUNNAH supaya menjadi hamba dan Khalifah Allah yang bertaqwa dan menyumbang ke arah mempertingkat tamadun bangsa dan Negara.

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Khamis, November 24, 2011

HIJRAH PEMIKIRAN UMMAH

Sumber : dakwah2u.blogspot.com

Awal Muharam atau Maal Hijrah bukanlah perkara asing bagi seluruh umat Islam. Peristiwa ini cukup signifikan dalam konteks memacu kemajuan ummah menghadapi cabaran-cabaran dalam pelbagai bidang.

Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, akan mengundang episod kegagalan kepada umat Islam sendiri.

Persoalannya berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah dan sejarah di sebalik peristiwa tersebut?

Secara umumnya perayaan 1 Muharam ini merujuk kepada peristiwa agung sejarah hijrah (perpindahan) yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para pengikutnya dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Tarikh ini menjadi sebahagian daripada hari memperingati di dalam kalendar Islam kerana ia merupakan titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang disebarkan oleh Rasulullah s.a.w. ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya sehingga ke hari ini Islam menjadi salah satu agama terbesar dunia dengan jumlah seramai lebih 1.3 bilion atau satu per lima daripada penduduk dunia.

Perjalanan yang menempuh pelbagai cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman dan asakan daripada kaum kafir Quraisy tetapi menjadi strategi Nabi Muhammad s.a.w. sendiri untuk melalukan transformasi dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam. Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan untuk keluar dari tanah air sendiri semata-mata untuk memperjuangkan atas nama Islam.

Hijrah juga akan gagal sekiranya umat Islam tidak bersatu padu, sentiasa bertelagah, mencari kesalahan dan hanya tahu mengkritik sahaja. Maknanya perpecahan hanya mengundang kegagalan dalam apa jua matlamat yang hendak dicapai lebih- lebih lagi melibatkan soal survival ummah.

Jelas betapa hebatnya hijrah tersebut yang bukan hanya berfokuskan semata-mata menyampaikan dakwah tetapi Baginda s.a.w. berjaya mendirikan daulah (negara) Islam Madinah yang lengkap melalui pakatan murni atau kontrak sosial yang dimeterai dalam Perlembagaan Madinah. Ahli sejarah menganggap ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi agama terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah menjadi majoriti yang perkasa dalam pelbagai bidang. Daripada umat yang lemah dan dihina beranjak kepada umat terbilang yang penuh penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim menjadi bangsa berilmu dan beradab. Itulah hasil perubahan yang tercetus hanya kerana hijrah.

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Al-Anfaal:30)

Keyakinan

Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi s.a.w. dan umat Islam agar tidak takut dengan ancaman orang kafir kerana Allah s.w.t. mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. yang cukup hebat.

Ketika umat Islam dilanda dengan pelbagai konflik dari sudut politik tanah air dan cengkaman kemiskinan yang sangat ganas, kita memerlukan satu anjakan untuk turut serta berhijrah dalam konteks pemikiran masa kini. Jangan hanya sekadar retorik dan berbangga dengan pencapaian keunggulan Islam pada zaman lampau. Malah kita harus bertanya apakah kita sekarang benar-benar dapat memastikan keunggulan Islam dinikmati untuk generasi akan datang dengan pencapaian kita selama ini?

Hijrah bukanlah bermakna kita menjadi pelarian atau orang buangan dalam konteks hari ini. Skeptikal dan salah tanggapan itu sangat menyimpang daripada kehebatan hijrah itu sendiri. Dalam dunia kejahilan kaum kafir yang bersandarkan ideologi manusia semata-mata, kita menolak dakwaan bahawa umat Islam sentiasa mencari arah perlindungan kuasa besar yang lain atau menjadi pelarian ke negara-negara lain semata-mata untuk menyelamatkan diri.

Kita tidak mengiktiraf pakatan jahat kafir Quraisy yang beria-ia hendak memburu dan menamatkan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. ini kerana ia sangat bertentang dengan kebebasan hak asasi manusia yang tidak boleh dibunuh tanpa melalui sistem perundangan yang sah. Ia juga melambangkan betapa era kejahilan sangat berkuasa pada zaman dahulu yang menghuru-harakan sistem sosial manusia kerana tidak mempunyai panduan daripada wahyu.

Nabi Muhammad s.a.w. tidak berdiam diri dan hanya menyerahkan kepada takdir semata-mata tanpa melakukan urusan dakwahnya dengan menggunakan metodologi yang sangat efektif.

Apa pula strategi kita untuk terus menghadapi cabaran hari ini yang jauh lebih kompleks. Sering kali terpapar di dalam media bagaimana tragisnya kehidupan ummah yang penuh dengan kesengsaraan, kemiskinan, kedangkalan ilmu, kelemahan pencapaian ekonomi dan lebih menakutkan ialah peperangan saudara yang melahirkan lebih ramai pelarian.

Di samping memastikan aspek keselamatan dan keamanan negara-negara yang didiami oleh umat Islam, kita harus meletakkan visi dan misi yang sarat dengan kebijaksanaan agar tidak kecundang di pertengahan jalan. Ia sangat menuntut kepada perpaduan dan menjauhi pertelingkahan, tuduhan melulu dan membuang perasaan iri hati sesama kita semua.

Gantikanlah dengan semangat muhibah, toleransi, keazaman murni dan perilaku yang terbaik melambangkan keunggulan jati diri umat Islam melalui pelbagai bidang seperti pendidikan, penerokaan sains, kepesatan ekonomi negara dan kestabilan politik. Pastinya angka ini semakin bertambah dari semasa ke semasa hasil daripada usaha- usaha ke arah memartabatkan umat Islam dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Semoga mulai saat ini berazamlah kita semua agar tiada lagi masalah yang melanda umat Islam. Tiada lagi label keganasan yang dikaitkan dengan umat Islam, tiada kemiskinan yang menghambat negara-negara Islam, tiada lagi kepincangan sosial yang negatif, tiada lagi kedengaran semboyan peperangan.

* RAHISAM RAMLI ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM).

Isnin, September 26, 2011

CARA BERBAKTI KEPADA IBU BAPA YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA



Dari Aisyah menceritakan bahwa seorang lelaki datang kepada Rasulullah bertanya : Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan dia tidak ada berwasiat apa pun dan saya rasa kalau dia sempat berbicara dia akan bersedekah, adakah dia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya ? Nabi menjawab : Ya (bersedekahlah dan dia akan mendapat pahala ). (Sahih Bukhari dan Muslim)

Dari Abi Usaid Malik bin Rabi’ah berkata bahwa ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata : “ Ya Rasulullah, adakah kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah meninggal dunia ? Rasul menjawab : Ada, engkau berdoalah untuk keduanya, dan meminta diampunkan dosa-dosanya, dan tunaikan wasiat dan janji-janjinya, dan hubungkan silatiurahim dengan saudara dan keluarganya, dan hormati serta muliakan kawan-kawannya.“ (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)

Ahad, Ogos 28, 2011

ADAB MENYAMBUT AIDILFITRI

1. Berdoa di malam raya

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan 'Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Baqarah : 185)

3. Mandi Sunat Aidilfitri

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."

(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seeolk-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Mengucapkan tahniah

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:

Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam.

Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

7. Ziarah menziarahi

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."

(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.

(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Pautan Blog jQAF