AKTIVITI PANITIA

Ahad, April 12, 2009

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1430H

Panitia Pendidikan Islam SK Sungai Serai menganjurkan sambutan Maulidur Rasul 1430 pada 3 April yang lalu. Aturcara dimulakan pada pukul 8 pagi dengan perarakan murid-murid dan guru sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.


Antara objektif sambutan Maulidur Rasul ini adalah untuk memperingati Nabi Junjungan tercinta, Nabi Muhammad S.A.W. Di samping itu juga, sambutan ini diadakan bagi memupuk rasa cinta dan sayang kepada Nabi Muhammad S.A.W. di kalangan murid-murid SK Sungai Serai.


Aturcara majlis diteruskan dengan ceramah Maulidur Rasul. Antara intisari ceramah yang disampaikan adalah berkenaan dengan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W serta contoh peribadi yang agung yang ada pada baginda. Ceramah yang disampaikan sangat menarik dan berjaya menarik minat murid-murid dan guru SK Sungai Serai. Turut memeriahkan majlis ialah Puan Puziah binti Mohd Nor, wakil daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sungai Serai.


Panitia Pendidikan Islam SK Sungai Serai turut menyediakan bubur lambuk untuk murid-murid sebagai jamuan. Walaubagaimanapun, pihak Panitia Pendidikan Islam memohon maaf kepada guru-guru yang tidak mendapat bubur tersebut kerana tidak mencukupi. Insya Allah, tahun hadapan pihak Panitia Pendidikan Islam akan cuba menyediakan lebih banyak lagi untuk semua pihak.


Selepas jamuan bubur lambuk, murid-murid dan guru dihidangkan dengan beberapa persembahan daripada murid-murid yang mengambil bahagian. Antara persembahan yang diberikan ialah sajak dan nasyid. Namun begitu, sambutan yang amat membanggakan apabila kumpulan nasyid sekolah, Raudhatun Nur membuat persembahan.


Panitia Pendidikan Islam SK Sungai Serai mengharapkan agar sambutan ini bukan hanya terhenti setakat itu sahaja tetapi bersama-samalah kita sentiasa berselawat ke atas Junjungan Baginda Rasulullah S.A.W setiap masa. Allah dan para MalaikatNya sentiasa berselawat ke atas Nabi, inikan pula kita sebagai manusia biasa. Renung-renungkan..

Salam Ukhwah..