AKTIVITI PANITIA

Isnin, Mac 30, 2009

KEM BESTARI SOLAT 2009


Pada hari Sabtu yang lalu, 28 Mac 2009, Kem Bestari Solat telah dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SK Sungai Serai. Ia adalah kem yang pertama buat tahap 1 dan yang kedua buat tahap 2. Bermula awal 7.40 pagi, kelihatan murid-murid hadir dengan pakaian kebangsaan. Berwarna-warni seperti ingin berarak Maulidur Rasul.
Tetapi semangat yang ditunjukkan oleh murid-murid memberi suatu semangat kepada saya untuk terus mengendalikan kem bestari solat ini sebaik dan selesa mungkin. Keinginan murid untuk mempelajari asas fardhu ain harus dipuji kerana inilah generasi yang bakal memimpin negara, Generasi Al-Quran.
Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pentadbir yang sedaya-upaya memberi bantuan, pandangan dan sokongan bagi menyokong aktiviti ke arah membina akhlak dan sahsiah murid yang terpuji. Terima kasih juga dihulurkan kepada guru-guru SK Sungai Serai yang menjadi pembimbing dan fasilitator kepada murid-murid. Masa, komitmen dan tenaga guru-guru amatlah dihargai dan moga memperolehi ganjaran setimpal daripada Allah Subhanahuwata`ala. Insya Allah.
Secara keseluruhannya, kem ini telah memberi kesedaran dan ilmu kepada murid-murid tentang kepentingan solat dalam kehidupan. Mereka sering diingatkan supaya mengerjakan solat walau dimana mereka berada. Keupayaan mengerjakan solat secara individu atau berjemaah boleh dipuji. Walau bagaimanapun, bagi murid yang masih lemah, perhatian dan bimbingan akan terus diberi supaya mereka dapat menunaikan rukun Islam yang penting itu. Ibarat membina rumah, tiang yang kukuh rumah pasti tak roboh.
Sekian melaporkan daripada Kem Bestari Solat SK Sungai Serai.

Ahad, Mac 22, 2009

KENALI TOKOH ISLAM


Beliau adalah Syeikh Muhammad Muhammad Sayyid Hasanin Jibril ataupun lebih dikenali dengan nama Sheikh Jibril. Dilahirkan di daerah Qalyubiyah, Mesir. Berasal daripada "keluarga Al-Quran" kerana ayahnya serta adik-beradiknya kesemua mereka menghafaz Al-Quran. Keluarga mereka bukan sahaja terkenal dengan kebolehan menghafaz Al-Quran dengan baik bahkan mereka juga mempunyai suara bacaan Al-Quran yang sangat fasih dan merdu.

Khamis, Mac 12, 2009

KARNIVAL TADARUS AL-QURAN ZON CHERAS 2009

Pada Karnival Tadarus Al-Quran yang dianjurkan di SK Taman Cuepacs pada 11 Mac 2009, SK Sungai Serai telah mencatat kemenangan dalam acara berikut:

  • Tilawah (L) : Naib Johan (Adik Muhammad Badri)
  • Tilawah (P) : Naib Johan (Adik Maisarah Hayati)
  • Bercerita (P) : Tempat Ketiga (Adik Husna)
  • Nasyid : JOHAN (Kumpulan Raudhatun Nur)

Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang berjaya. Kepada yang tidak berjaya, cuba dan terus mencuba. Tahniah juga kepada Kumpulan Raudhatun Nur yang berjaya mengharumkan nama SK Sungai Serai.

Terima kasih kepada pihak pentadbir yang memberi kepercayaan dan sokongan kepada guru-guru pendidikan Islam dan murid-murid yang mengambil bahagian.

Kalah dan menang adat sesebuah pertandingan, namun kita sama-sama berganding bahu dan terus berusaha untuk memastikan SK Sungai Serai dikenali ramai pada masa hadapan.

InsyaAllah.

Isnin, Mac 09, 2009

MAULIDUR RASUL 1430



JUNJUNGAN MULIA

( 1 )
Tercipta satu lembaran sejarah
Di tanah suci Kota Mekah
Hari yang mulia penuh syahadah
Bermulalah sebuah kisah

( 2 )
Malam isnin subuh yang indah
Dua belas rabiul'awal yang cerah
Dua puluh april tahun gajah
Lahirlah zuriat dan syahadah

Abdullah nama bapanya
Siti Aminah ibunya
Riang gembira menyambutnya
Lahirnya putra yang utama

( ulang 1 & 2 )

Muhammad nama diberi
Gelaran yang terpuji
Nikmat Illahi sama disyukuri
Terima putra yang berbakti

( ulang 1 & 2 )

Keadaan yatim anak mulia
Lahirnya bawa cahaya
Alam derita jadi gembira
Terima junjungan mulia

*SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN MULIA, NABI MUHAMMAD S.A.W.