by Abu Basyer on Monday, October 25, 2010 at 1:58pm
Sahabat
yang dirahmati Allah,
"
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Segala puji bagi Allah.
Tuhan seluruh alam. Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Pemilik hari pembalasan.
Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami mohon
pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang
telah Engkau beri nikmat kepadanya, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan
bukan (pula jalan) mereka yang sesat."
Surah
al-Fatihah adalah surah Makkiyyah mengandungi tujuh ayat. Surah yang wajib
dibaca berulang-ulang setiap rekaat semasa solat. Tidak sah solat tanpa membaca
surah ini. Surah al-Fatihah juga dipanggil sebagai Umm al-Qur'an (ibu
al-Qur'an) atau Umm al-Kitab (ibu al-Kitab)
Kita
mengerjakan solat 5 waktu sehari, dan ini bermakna kita membaca Al-Fatihah
sebanyak 17 kali setiap hari. Jadi, persoalannya, kenapa diwajibkan? Mungkin
bagi sesetengah orang, kata-kata diwajibkan berbunyi seolah-olah suatu beban
yang dipaksa ke atas orang Islam. Namun, bagi orang yang beriman, seharusnya,
kata-kata diwajibkan tidak dirasakan suatu beban tetapi suatu penghargaan dan
kerelaan.
Di sinila
peranan mengenali diri amatlah penting. Kerana setelah mengenali diri sendiri,
seseorang manusia itu boleh merasakan bahawa surah Al-Fatihah itu suatu
keperluan yang bersesuaian dengan kehendak manusia. Manusia yang tidak akan berubah
hakikatnya sebagai hamba Allah yang lemah dan sering membuat kesilapan tatkala
hatinya berbolak-balik tiap saat tiap detik tatkala dilanda ujian. Dan Allah
Maha Mengetahui hakikat ini. Bukankah Dia itu Maha Pencipta segala sesuatu?
Surah
al-Fatihah adalah ibu al-Quran yang diasaskan dengan maksud-maksud secara
menyeluruh, terdiri daripada usul ad-din dan cabang-cabangnya seperti aqidah,
ibadah, tasyri’, iqtikad dengan hari akhirat, beriman dengan sifat-sifat Allah
yang mulia, mengesahkannya dalam beribadah, meminta pertolongan dan do'a kepada
Allah s.w.t.
Selain
itu memohon hidayah ke jalan yang benar di samping menetapkan iman dan jalan
orang-orang solehin, menjauhkan daripada golongan yang dimurka Allah dan yang
sesat. Oleh itu Surah al-Fatihah juga dinamakan Um al-Kitab kerana menghimpun
segala maksud-maksud asas.
As-Shahid
Hasan al-Banna dalam risalahnya "Mukadimah fi at-Tafsir " berkata
: "Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti
dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain
dapat dilimpahi cahaya pada hatinya."
As-Shahid
Syed Qutb dalam tafsirnya "Fi Zilal al-Quran" antara lain berkata :
"Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati aqidah Islamiyah, tasawwur
Islam, perasaan dan harapan do'a kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah
pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat.
As-Syeikh
Abdul Rahman Habannakah al-Midani di dalam kitabnya "Ma`arij
at-Tafakkur" telah membahagikan inti pati Surah al-Fatihah kepada
empat :
Pertama :
Asas iman yang wajib diimani hamba-hamba Allah yang diujinya ketika hidup di
dunia secara mesti.
Kedua :
Tuntutan Allah terhadap hamba-Nya untuk beribadah dan bergantung kepada-Nya
tanpa gangguan dengan yang lain.
Ketiga :
Agama pilihan Allah bagi hamba-hamba-Nya yang diuji, hanya Sirat al-Mustaqim
yang dapat kemenangan yang disuruh pohon hidayah kepada-Nya.
Keempat :
Dua masa ujian iaitu ujian di dunia dalam kehidupan semenjak lahir dan hingga
hari kiamat terhadap tuntutan Allah.
Oleh itu dinamakan
surah ini Umm al-Quran kerana rangkuman segala inti pati al-Quran.
Sahabat
yang dimuliakan,
Marilah
kita hayati dan amalkan Surah al-Fatihah ini kerana ianya mengandungi tujuh
keistimewaan yang tidak terdapat di dalam surah-surah lain di dalam al-Qur'an.
Pertama :
Paling Besar (A’zham)
Abu Said
al-Ma’alli r.a., katanya : “Aku sedang solat, lalu dipanggil oleh Rasulullah
s.a.w., maka tak dapat aku menyahut. Sesudah aku selesai solat, aku datangi
baginda, Rasulullah berkata : Kenapa engkau tidak segera mendatangiku
? Aku menjawab : Kerana aku dalam bersolat ya Rasulullah.Berkata
Rasulullah : Bukankah Allah sudah berfirman : 'Hai orang-orang beriman,
sahutilah seruan Allah dan Rasul bila menyeru kamu kepada apa yang menghidupkan
kamu'. Kemudian baginda berkata : 'Aku akan mengajarkan kepadamu sebesar-besar
surah di dalam al-Qur’an sebelum engkau keluar dari masjid ini'. Ketika
Rasulullah akan keluar dari masjid, baginda memegang tanganku, lalu aku berkata
: 'Ya Rasulullah, Engkau mengatakan mau mengajarkan kepadaku sebesar-besar
surah di dalam al-Qur’an.'Berkata Rasulullah : 'Ya, ialah al-Hamdulillahi
Rabbil “Aalamin (dan seterusnya), ialah 7 ayat yang berulang-ulang, dan itulah
al-Qur’an al-‘Azhim yang telah disampaikan kepadaku” (Hadis Riwayat Bukhari,
Abu Dawud, an-Nasa’i)
Kedua :
Membaca Surah al-Fatihah sama seperti membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al
Qur’an.
Diriwayatkan
dari Sayyidina Ali bin Abu Talib k.w. bahawa Rasulullah s.a.w. berkata
maksudnya : “Siapa yang membaca Fatihatul-Kitab (al-Fatihah), maka seakan-akan
dia telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan al-Furqan (al-Qur’an)”.
Ketiga :
Hanya Kepada Nabi Muhammad s.a.w. diiturunkan.
Ibnu
Abbas r.a. katanya : “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. duduk bersama Jibril,
tiba-tiba Rasulullah mendengar suatu bunyi dari atas, lalu Jibril menoleh ke
atas, kemudian lalu berkata : “Itu sebuah pintu sudah terbuka di langit, dan
tak pernah pintu itu terbuka sebelum ini”, dari pintu itu turun satu Malaikat,
yang langsung menuju kepada Rasulullah, dan berkata : “Bergembiralah engkau
(Muhammad) mendapat dua cahaya yang aku bawakan ini, yang tak pernah kedua
cahaya ini diberikan kepada Nabi yang manapun sebelum engkau, kedua cahaya itu
ialah Fatihatul-Kitab dan beberapa ayat di akhir Surah al-Baqarah, setiap huruf
engkau baca dari keduanya pasti engkau mendapatkannya”.(Hadis Riwayat Muslim
dan Nasa'i)
Keempat :
Langsung mendapat jawapan daripada Allah s.w.t.
Siapa
yang membaca Surah al-Fatihah, setiap ayat yang dibaca itu langsung dijawab oleh
Allah. Dari Abu Hurairah r.a. katanya : “Kami berada di belakang Imam
(bersolat), maka berkatalah Imam itu kepadaku : “Bacalah al-Fatihah dalam
hatimu, karena aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. mengatakan : Telah berkata
Allah Azza-wa Jalla : Aku bagi solat (di sini maksudnya ialah al-Fatihah)
antaraKu dan hambaKu menjadi dua bahagian (maksudnya : seperdua untukKu dan
seperdua lagi untuk hambaKu), dan bagi hambaKu apa yang mereka
minta. Apabila hambaKu itu berkata : “Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamin”,
Allah menjawab : ”HambaKu memujiKu” ; dan apabila hambaKu berkata :
“Arrahmaanir Rahiim” , Allah menjawab : “HambaKu menyanjungKu” ; dan
apabila hambaKu berkata : “Maaliki Yaumiddin”, Allah menjawab : “HambaKu
memuliakanKu”, dan apabila hambaKu berkata “Iyyaka na’budu wa iyyaka
nasta’iin”, Allah menjawab : “Ini seperdua untukKu dan seperdua untuk hambaKu,
bagi hambaKu, apa yang ia minta; dan apabila hambaKu berkata
“Ihdinashshiraathalmustaqiim, shiraathal ladzina an’amta ‘alaihim, ghairil
maghdhuubi ‘alaihim waladh-dhaalliin”, Allah menjawab : Ini semuanya untuk
hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang ia minta”.(Hadis Riwayat Muslim)
Kelima :
Aman Dari Segala Bahaya.
Diriwayatkan
oleh al-Buzar dari Anas r.a. : Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :
“Bila engkau baca al-Fatihah dan Qul Huwallahu Ahad maka amanlah engkau dari
segala sesuatu, kecuali dari maut”.
Keenam :
Langsung Dari Arasy
Dari
Ma’qal bin Yasaar r.a. : Telah berkata Rasulullah s.a.w maksudnya : “Amalkanlah
segala apa yang tersebut di dalam al-Qur’an, halalkanlah apa yang
dihalalkannya, haramkanlah apa yang diharamkannya, dan patuhilah ia, jangan
sekali-kali engkau engkar apa-apa yang tersebut di dalamnya, dan apa-apa yang
kamu ragukan (maksudnya), kembalikanlah kepada Allah dan orang-orang yang
mempunyai pengetahuan sesudah meninggal aku nanti, supaya diterangkannya kepada
kamu, dan berimanlah kamu dengan Taurat, Injil dan Zabur, dan apa saja yang
dibawa oleh para Nabi dari Tuhan mereka, dan akan memberi kelapangan kepadamu
al-Qur’an dan segala keterangan yang tersebut di dalamnya, maka sesungguhnya
al-Qur’an itu Pemberi Syafaat, sesuatu yang tak pandai bercakap tetapi membawa
kebenaran, dan kepadaku diberikan Allah Surah al-Baqarah dari ZIKIR PERTAMA
(Kitab-Kitab Suci yang diturunkan sebelum Musa a.s.) dan diberikan kepadaku
surah yang berawalan Thaha, Thasin dan Hamim dari Papan-papan Musa (maksudnya :
TAURAT), dan diberikan kepadaku Surah al-Fatihah langsung dari Arasy”.(Hadis
Riwayat al-Hakim)
Ketujuh :
Sebagai Ubat dan jampi.
Dari Abu
Said al-Khudri r.a. “Pada suatu hari kami bersama-sama dalam perjalanan,
bermalam di satu dusun. Datang kepada kami seorang budak perempuan dan berkata
: “Sesungguhnya kepala desa ini sakit dan tak seorangpun di antara kami yang
dapat mengubatinya, adakah diantara tuan-tuan yang dapat mengubatinya ?” Salah
seorang dari rombongan kami berdiri dan mengikuti budak tadi. Kami tidak
mengira yang ia dapat menjadi dukun. Si sakit itu lalu dijampinya dan sembuh.
Kepadanya diberi hadiah 30 ekor kambing, dan kepada kami disuguhkan susu.
Ketika ia kembali kami bertanya : “Apakah engkau membolehkan jampi, dan apakah
engkau tukang jampi ?” Ia menjawab : “Tidak, saya bukan tukang jampi, tetapi
aku hanya membacakan Ummul-Kitab (al-Fatihah).” Kami katakana : “Kejadian ini
jangan dikabarkan kepada siapapun, sebelum kita tanyakan kepada Rasulullah
s.a.w. lebih dahulu”. Sesudah kami sampai di kota Madinah, kami datangi
Rasulullah s.a.w. dan kami ceritakanlah kejadian itu. Rasulullah lalu berkata :
“Siapa tahu bahwa surah itu (al-Fatihah) adalah jampi (ubat) bagilah hadiah itu
dan berikan saya sebahagian darinya”.(Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat
yang dikasihi,
Surah
Al-Fatihah sebenarnya macam suatu do'a dan munajat kita sebagai hamba-Nya.
Adalah penting untuk kita sentiasa mengharapkan pertolonganNya. Konsep
kepercayaan kepada Tuhan yang Esa dan konsep bergantung kepada Allah s.w.t.
sahaja.
Didalam
surah ini juga terangkum Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Di dalam Tauhid
Rububiyah mengandungi sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t., nama-nama Allah
yang mulia dan dan kekuasaan Allah s.w.t mentadbir Allah semesta dan berkuasa
di hari akhirat.
Di dalam
Tauhid Uluhiyah pula adalah pengabdian diri sepenuhnya manusia kepada Allah
s.w.t., termasuk juga penyembahan, pergantungan dan pengharapan manusia
kepada-Nya.
Jalan
yang lurus dalam surah ini bermaksud jalan hidup Islam yang sempurna dan
lengkap. Jalan yang membolehkan manusia merasai nikmat iman, jalan
ketaataan, jalan beramal dan beribadah hanya kerana Allah, jalan melakukan
kebaikan dan menjauhi keburukan, sebagaimana yang dikehendaki dan diredhai oleh
Allah s.w.t.. Jalan-jalan lain yang bengkuk adalah jalan syaitan yang
akan menyesatkan manusia.
Siapakah
golongan yang diberi nikmat oleh Allah s.w.t.? Allah s.w.t menjelaskan dalam
surah An-Nisa' bahawa mereka yang diberi nikmat adalah para Nabi, para
shiddiqun, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh seperti didalam
firman-Nya yang bermaksud :"Dan barangsiapa yang menaati Allah dan
Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi
nikmat oleh Allah, yaitu para nabi, para shiddiqun, orang-orang yang mati
syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.
Yang demikian itu adalah karunia dari Allah, dan Allah cukup mengetahui."
(Surah An-Nisa': 69 -- 70).
Di akhir
surah ini minta dijauhi daripada orang yang dimurkai Allah s.w.t dan orang yang
sesat. Siapkah orang yang sesat dan orang yang dimurkai Allah? Menurut
Hadis Nabi s.a.w.: "Orang-orang yang dimurkai" itu ialah kaum
Yahudi, dan “Orang-orang yang sesat” ialah kaum Nasrani.” (Tafsir Al-Alusi,
1:90).
Ada juga
Ahli Tafsir yang memberikan huraian lanjut mengenainya. Menurut
Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim - Penyemak Kitab
Tafsir ini - bahawa kesimpulannya seperti berikut:
“Orang-orang
yang dimurkai Allah” ialah orang-orang yang mengingkari atau menyembunyikan
sesuatu perkara agama yang telah diketahuinya betul dan benar, atau orang yang
tidak mahu menerima sesuatu hukum agama yang sampai kepadanya dengan
keterangan-keterangan yang sah kerana beberapa sebab yang mempengaruhi jiwanya
seperti: perasaan takassub atau fanatik kepada sesuatu pendapat, keinginan
hendak menjaga nama dan taraf, ingatan hendak memelihara keadaan dan kedudukannya
yang turun temurun, atau fikiran hendak menghormati sesuatu keadaan masyarakat.
"Orang-orang
yang sesat” pula ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak
berusaha untuk mempelajarinya atau orang yang pengetahuan agamanya tidak betul,
kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan yang sebenarnya.
Orang-orang yang tersebut kalau mereka tidak sesat dalam urusan kebahagiaan
hidup dunia kerana sihat pancaindera dan tepat pendapat akal mereka pada
zahirnya, maka tak dapat tidak mereka sesat dalam urusan kebahagiaan hidup di
akhirat. kerana pengetahuan agama Allah sahaja yang sanggup menunjuk dan
membimbing pengikutnya kepada kebahagiaan akhirat.