AKTIVITI PANITIA

Khamis, Julai 11, 2013

SOLAT TERAWIH @ TARAWIH


Takrif Solat Terawih (Tarawih):


          Menurut bahasa (lughah): Terawih bermaksud berehat, bersenang-senang,          melapangkan nafas dan seumpamanya.
          Menurut istilah: Terawih ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam di   bulan Ramadan. Bermula waktunya selepas solat Isyak dan berakhir dengan masuk waktu subuh,    tidak termasuk sunat Isyak dan solat witir.
  Dinamakan terawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas empat    rakaat (dua salam). Solat terawih termasuk solat tahajud dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

  Waktu Melakukan Solat Terawih.
  Sebagaimana hadis Rasulullah saw di atas: Sesiapa berdiri (beribadat) pada malam     Ramadan…”. Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat terawih ialah sesudah masuk waktu solat isyak sehingga sebelum masuk waktu solat subuh. Ini bererti sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh melakukannya pada pertengahan atau akhir  malam.

Hukum Solat Terawih
  Solat terawih hukumnya sunat muakad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut.         Rasulullah saw telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah sunat dan tidak    wajib.

Cara Perlaksanaan Solat Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjemaah atau bersendirian. Berjemaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah saw. Namun jika menghadapi  kesempitan untuk melaksanakannya secara berjemaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah saw sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjemaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.

Niat Solat Terawih

  أُصَلىِّ سُنَّة َالتَّراَوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا ِللهِ تَعَالَى 

"Sahaja aku solat sunat tarawikh 2 rakaat mengikut imam kerana Allah Taala"

Bilangan Rakaat Solat Terawih, 8 rakaat atau 20 rakaat?

          Solat terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat? Persoalan jumlah rakaat bagi solat terawih telah menjadi tumpuan para ilmuwan Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya          membuahkan tiga pendapat.

Pendapat pertama: Jumlah rakaat solat terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. 
Pendapat kedua: Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir.
Pendapat ketiga: Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian  ditutupi dengan solat witir.


Antara aspek kualiti yang sering ditinggalkan ketika Solat Terawih ialah:

1. Meninggalkan bacaan al-Qur’an secara tartil, iaitu sebutan kalimah-kalimah al-Qur’an  secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t. memerintah kita: “Dan bacalah   al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil:4].

2. Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas     al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat   besar.

3. Mengabaikan tamakninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam sesuatu posisi ialah sehingga     bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna jumlahnya. Pernah   seorang lelaki bersolat tanpa tamakninah pada zaman Rasulullah saw. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan Baginda itu menunjukkan tamakninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang    meninggalkannya bererti solatnya, sama ada solat terawih atau selainnya, adalah tidak         sempurna.

4. Tidak mengambil berat tentang melurus dan memenuhkan saf solat. Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah saw telah memberi peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya yang bermaksud: “Luruskan saf-saf solat kamu atau Allah akan tukarkan wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu).” 
[HR Bukhari].

*Disunting daripada laman sesawang http://www.abuanasmadani.com/?p=409 yang disediakan oleh Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman.



Jumaat, Julai 05, 2013

MARHABAN YA RAMADHAN








Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Kefardhuan Puasa

              Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183) yang bermaksud :

              “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa ”.

Pengertian Puasa

  Ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan daripada segala      perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah     terbenam matahari.

Niat Puasa Ramadan

Lafaz niat puasa fardu Ramadan :
                                                                                               
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِرَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِلله ِتعَاَلَى .
                                                                                               
Ertinya : Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Taala.

Doa Ketika Berbuka Puasa

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
Ertinya : Ya Allah Ya Tuhanku, kerana mu jua aku berpuasa dan dengan mu aku     beriman dan di atas rezeki mu aku berbuka, dengan belas kasihan mu Ya Allah yang amat mengasihani.

Keistimewaan Bulan Ramadhan

a)  Bulan yang mulia, berkat dan setiap doa akan dimakbulkan
b)  Allah merahmati orang yang mengimaninya
c)  Al-Quran diturunkan dalam bulan ini
d)  Solat tarawih dan zakat fitrah dilaksanakan. 
e)  Terdapat malam yang mulia iaitu malam Lailatul qadar.
f)  Iblis dipenjarakan. Rasulullah bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan.”Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


Sunat-sunat puasa

a)  Makan Sahur serta melambatkannya
b) Menyegerakan berbuka puasa & sunat berbuka    dengan buah kurma atau benda-benda yang manis
c)  Menjamu orang-orang yang berbuka puasa
d)  Mandi junub, haid dan nifas sebelum fajar
e)  Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
f)   Membaca Al-Quran
g) Beriktikaf terutamanya 10 hari terakhir bulan Ramadan

Perkara makruh ketika berpuasa

a)  Berbekam
b)  Mengeluarkan darah
c)  Berkucupan dengan mulut
d)  Merasa makanan
e) Bersugi selepas gelincir matahari

Perkara yang membatalkan puasa

a) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan    sengaja kecuali terlupa
b)  Makan dan minum di siang hari
c)  Muntah dengan sengaja
d)  Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
e)  Keluar darah haid & nifas
f)   Gila
g)  Pitam atau mabuk sepanjang hari
H)  Murtad

Keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa

a)  Musafir
b)  Sakit
c)  Mengandung & Ibu yang menyusukan anak
d) Tua


(sumber: ustazMKA)